Singgah @ MEDAC tawar konsep ‘grab & go’
PUTRAJAYA, 27 JANUARI 2021 : Singgah @ MEDAC yang terletak di Lobi Utama menawarkan konsep ‘grab & go’ yang memudahkan urusan para pelanggan yang rata-ratanya terdiri daripada warga kerja Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan warga kerja kementerian lain di Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya. Premis yang telah mula beroperasi pada 26 Januari yang lalu menghimpunkan pelbagai produk usahawan tempatan, terutamanya produk usahawan TEKUN dan IKS.
Melalui ruang legar, warga kerja dan pengunjung yang hadir ke MEDAC dapat melihat dari jauh ‘ucapan’ selamat datang melalui reka hias dari luar. Menerusi rekaan dalamannya, Singgah menjanjikan pelbagai produk berkualiti dengan harga yang berpatutan. Daripada snek dan kudapan, sehingga makanan sejuk beku disediakan untuk para pelanggan.
Tarikan produk di sini pastilah produk-produk signature Singgah seperti T-asty Oden, Pau dan Dim Sum dari jenama Mohd Chan dan minuman jus tanpa gula pengawet E-Zeal yang memberikan kelainan. Singgah sentiasa cuba untuk memenuhi permintaan para pelanggan yang inginkan produk yang berkualiti dan menarik.
Singgah @ MEDAC merupakan cawangan ketiga kedai serbaneka yang dibuka oleh TEKUN Corporation Sdn Bhd, selain TEKUN Mart Jelatang Alor Gajah dan TEKUN Mart Ara Damansara. Singgah @ MEDAC dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7.30 pagi hingga 6.30 petang.